Masalah perparitan di RPR Taman Sri Cahaya Tondong perlu perhatian segera

Chong (baju putih) bersama penduduk RPR Taman Sri Cahaya Tondong mengadakan gotong-royong membersihkan longkang.

By Chris Bishop

KUCHING, Ogos 18: Masalah perparitan di RPR Taman Sri Cahaya Tondong, Batu Kawa perlu perhatian segera dari pihak bertanggungjawab, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

Kawasan perumahan dengan 11 blok flat yang dihuni 660 keluarga itu telah mencatatkan 2 kes denggi pada bulan Jun dan Julai lepas.


Sehubungan itu, Chong mahukan Perbadanan Pembangunan Perumahan(HDC) bertindak dengan segera.

“Masalah utama yang dihadapi penduduk di sini adalah sistem perparitan yang ada banyak longkang tersumbat.

“Ini menyumbang kepada dua kes demam denggi yang telah direkod pada bulan Jun dan Julai lepas.

“Dengan itu, saya menggesa HDC mengambil berat terhadap aduan yang telah dibuat penduduk dan bertindak segera,” katanya.

Chong berkata demikian kepada pemberita di Program Gotong-Royong anjuran Rukun Tetangga (KRT) RPR Taman Sri Cahaya Tondong disini pagi tadi.

Gotong-royong merupakan inisiatif KRT untuk membersihkan longkang-longkang yang tersumbat disamping menjaga kebersihan persekitaran taman.

Terdahulu, Pengerusi KRT RPR Taman Sri Cahaya Tondong Chai Jun Chen memaklumkan yang aduan berhubung permasalahan tersebut telah dibuat kepada agensi bertanggungjawab.

Laporan tentang masalah tersebut, katanya, pernah disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan sebelum ini tetapi masih tiada tindakan.

Chai (kanan) menerangkan masalah yang dihadapi kepada pemberita sambil diperhatikan Chong (tengah).

“Isu perparitan ini adalah masalah besar di sini dan begitu juga dengan kebersihan tangga dan tempat meletak kereta.

“Ada kontraktor di beri tugas menjalankan semua kerja ini tetapi dalam tempoh 3 tahun ini, tangga hanya di sapu 3 kali sebulan.

“Keadaan sekeliling ditumbuhi rumput dan parit tidak dicuci,” kata Chai sambil menyatakan setiap keluarga membayar RM18 sebulan untuk perkhidmatan menjaga kebersihan taman. — DayakDaily