Masalah bekalan air selesai, penduduk Pasai Besai terima paip baharu

Bekalan air kembali pulih di Rh Bujang Ujeh sebelah Rh Dawi.

KUCHING, Jan 15: Nasib 3,000 penduduk di Pasai Besar yang menghadapi masalah bekalan air sejak Gawai 2019 lepas bakal diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Lembaga Air Sibu(LAS) melalui satu kenyataan semalam mendedahkan ini berikutan siapnya kerja-kerja pemasangan saluran paip di sepanjang Jalan Ling Kai Cheng ke Teku Pasai.

“Satu Projek Rakyat sedang dilaksanakan dan kerja-kerja pemasangan saluran paip di sepanjang Jalan Ling Kai Cheng ke Teku Pasai telah siap.


“Penyaluran air melalui paip baharu akan dilakukan dalam masa 1 minggu untuk tujuan pengujian dan pentauliahan iaitu dari 11 Januari 2020.

“Pengujian awal memberi keputusan yang amat memberangsangkan di mana semua kawasan terjejas sebelum ini dapat menerima tekanan yang mencukupi,”menurut kenyataan media itu.

Pemasangan paip baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Utiliti Sarawak melalui LAS.

Ia bertujuan meningkatkan tekanan air untuk penyaluran bekalan air yang lebih baik kepada pengguna yang semakin bertambah di kawasan Teku, Teku Pasai dan Ulu Sg Merah pada masa ini.

Bekalan air kembali pulih di Rh Veronica.

LAS turut memaklumkan bahawa dalam tempoh sejak Disember tahun lepas, pihaknya telah menghantar lori tangki air secara berterusan untuk membekalkan air ke kawasan-kawasan yang terjejas terutamanya di kawasan yang tinggi sehingga bekalan air pulih semula.

Menurut LAS, masalah paip pecah kerap berlaku di beberapa kawasan seperti di Teku, Bahagia Jaya, Quarry, Indah dan Rantau Panjang semenjak bulan Jun 2019.

“Sebanyak 66 laporan paip pecah telah diterima dan ditambah pula dengan tekanan air yang rendah terutama pada waktu puncak memburukkan lagi keadaan.

“Lembaga telah mengambil tindakan yang segera dengan membaiki paip yang pecah tersebut dan apabila kejadian paip pecah kerap berlaku, ia turut mengakibatkan tekanan air rendah atau tiada air. Setelah kerja-kerja baikpulih dilakukan, bekalan air akan kembali pulih secara berperingkat,” menurut LAS. — DayakDaily