KKM: Kematian kanak-kanak di Johor Bahru bukan akibat influenza

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Jan 15: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mendedahkan punca kematian kanak-kanak yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada Jan 13 lepas adalah bukan akibat jangkitan influenza.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan media mendedahkan hasil ujian sampel klinikal terhadap mangsa adalah negatif bagi jangkitan influenza.

Pihak kementerian, katanya, masih menjalankan siasatan untuk mencari punca sebenar kematian murid Tahun 1, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, 7 tahun.

“Pesakit telah dirujuk kepada HSA daripada sebuah hospital swasta pada Jan 10 dalam keadaan yang sangat kritikal.

“Beliau telah menerima bantuan pernafasan dan rawatan rapi oleh pasukan perubatan yang diketuai pakar-pakar perubatan pediatrik.

“Namun keadaan pesakit semakin tenat dan beliau telah disahkan meninggal dunia pada Jan 13 jam 10.48 malam,” kata Dr Noor Hisham.

Berhubung satu lagi kes kematian kanak-kanak yang dilaporkan oleh pihak media pada Jan 12 yang dikaitkan dengan influenza, beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Menurut Dr Noor Hisham, berdasarkan laporan awal yang diterima, pesakit telah dibawa oleh ibu bapa beliau ke Jabatan Kecemasan sebuah hospital swasta di Selangor pada Jan 11 dalam keadaan yang kritikal dan meninggal dunia pada Jan 12.

Berhubung pembekalan vaksin influenza dan ubat antiviral oseltamivir, dalam satu kenyataan media lagi, Dr Noor Hisham mendedahkan vaksin influenza hanya ditawarkan di fasiliti KKM manakala ubat Oseltamivir pula adalah ubat antiviral yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus influenza.

“Sehingga kini, terdapat enam produk vaksin influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia.

“Jumlah keseluruhan kuantiti yang telah dibawa masuk untuk pasaran Malaysia sepanjang tahun 2019 bagi keenam-enam produk vaksin tersebut adalah sebanyak 638,388 dos.

“Daripada jumlah keseluruhan bekalan ini, hanya 10 peratus merupakan bekalan ke fasiliti kesihatan KKM,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, ubat Oseltamivir pula adalah ubat antiviral yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus Influenza.

Di Malaysia, katanya, terdapat pelbagai jenama Oseltamivir yang berdaftar antaranya Tamiflu, Fluhalt, Osmivir dan Starflu.

“Pemberian ubat antiviral dapat mengurangkan simptom serta komplikasi penyakit. Namun, penggunaan antiviral perlu digunakan secara rasional bagi mengelakkan kerintangan antimikrobial yang menyebabkan rawatan tidak berkesan,” ujar beliau.

Bagi fasiliti KKM, Oseltamivir ini dibekalkan di bawah syarikat konsesi yang telah diarahkan untuk menyimpan stok yang mencukupi (stockpile).

Sehubungan itu, kata beliau, tiada masalah bekalan di fasiliti KKM walaupun permintaan telah meningkat empat kali ganda untuk bulan Disember 2019.

“Setakat ini KKM telah meluluskan hampir 1.1 juta kapsul/tablet bagi tempoh Disember 2019 hingga Januari 2020 untuk memenuhi permintaan fasiliti kesihatan swasta.

“Kuantiti ini dianggarkan dapat merawat sejumlah 110,000 orang pesakit,” tegas Dr Noor Hisham. — DayakDaily