Masalah bekalan air bagi kawasan Lundu dijangka beransur pulih petang ini

Gambar dari laman Facebook JBALB Lundu menunjukkan kerja membaiki saluran paip air mentah dari Hydro Mini Sesco ke Loji Rawatan Air Lundu yang terputus pagi tadi.

KUCHING, Okt 24: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menjangkaan masalah bekalan air bagi kawasan Lundu yang bermula jam 10 pagi hari ini akan beransur pulih mulai jam 4 petang ini.

Ini berikutan kerja membaiki saluran paip air mentah dari Hydro Mini Sesco yang terputus pagi tadi dan menyebabkan Loji Rawatan Air Lundu mengalami kekurangan bekalan air mentah telah siap sepenuhnya dijalankan pihak kontraktor.

“Loji Rawatan Air Lundu kembali beroperasi seperti biasa pada jam 4.15 petang tadi. Oleh itu, bekalan air akan kembali pulih secara berperingkat di kawasan yang terjejas,” menurut laman Facebook JBALB Daerah Lundu hari ini.


Sehubungan itu jabatan terbabit memohon maaf di atas kesulitan pihak pengguna air di kawasan Lundu kerana gangguan bekalan air terbabit.

Sementara itu JBALB Samarahan di laman Facebook pula mendedahkan bekalan air bagi kawasan Sebangan terpaksa ditutup buat sementara waktu dari jam 9 pagi sehingga jam 5 petang hari ini bagi membolehkan kerja penyambungan dan pengantian paip utama baru dijalankan.

Kawasan yang terjejas ialah Kampung Meranti, Kampung Skitong dan Kampung Tungkah Melayu dengan pengguna boleh menghantar mesej WhatsApp ke 013-8293176 untuk maklumat lanjut. — DayakDaily