KUCHING, 26 Mac: Penduduk di empat buah rumah panjang yang menjadikan Sungai Delok di Batang Ai sebagai pengangkutan utama kini menarik nafas lega.
Ia setelah kejadian ‘apat kayu’ di sungai tersebut sejak Februari lepas diselesaikan.
Empat rumah panjang terlibat ialah Rh Andah (Ng Sumpa), Rh Kawin (Pala Taong), Rh Ninting (Ng Jambu) dan Rh Gupie (Ng Delok Ulu).
Seorang penduduk rumah panjang di Nanga Sumpa dikenali sebagai Sambau berkata, kini keselamatan mereka semasa menggunakan sungai tersebut terjamin.
“Terima kasih kepada Pihak Lembaga Sungai-Sungai Sarawak yang telah berkerjasama dengan penduduk setempat mengatasi masalah kayu-kayu yang terapung di Sungai Delok dengan jayanya,” katanya.
Terdahulu, mereka mengharap bantuan pihak berwajib untuk membersihkan sisa-sisa kayu yang terapung di Sungai Delok.
Kejadian tersebut telah menyukarkan pergerakan mereka kerana sungai adalah satu-satunya kaedah pengangkutan.
Tambah Sambau, kejadian sungai yang dipenuhi dengan sisa-sisa kayu adalah disebabkan hujan lebat berterusan yang berlaku.
Katanya, akibat hujan berterusan katanya, paras air meningkat dan menyebabkan sisa-sisa kayu diheret ke sungai. — DayakDaily