Masa depan ekonomi digital Sarawak cerah

Dr Abdul Rahman(tiga dari kiri) mendengar penerangan semasa lawatan ke SDEC dan CENTEXS di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 31 MAC: Sarawak mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang ekonomi digital dengan kewujudan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Centre Of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS).

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kewujudan dua agensi di bawah kerajaan Sarawak itu menjadi pemangkin utama kepada pembangunan digital negeri ini.

“Masa depan Sarawak amat cerah dalam digital ekonomi kerana kita mempunyai agensi khas,” katanya selesai lawatan ke SDEC dan CENTEXS di sini, hari ini.

Advertisement

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, SDEC kini dalam proses untuk membangunkan infrastruktur digital ekonomi di seluruh negeri.

Sementara itu menurutnya, Sarawak juga mampu melahirkan pakar dalam bidang digital dengan pelbagai kursus berkaitan disediakan CENTEXS.

“Pada masa akan datang kita tidak lagi perlu bergantung dengan pakar dalam bidang digital dari luar,” ujarnya.

Sehubungan itu jelasnya, anak muda tempatan perlu merebut peluang untuk menyertai kursus-kursus yang disediakan di CENTEXS.

Jelas beliau, sesiapa sahaja boleh menyertai kursus yang ditawarkan dengan syarat kelayakan minima.

Lawatan sambil belajar itu turut disertai exco Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SDEC Sudarnoto Osman dan CEO CENTEXS Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman.-DayakDaily

Advertisement