Jentera berat ditimpa pokok, lelaki cedera ringan

Keadaan jentera yang di kendalikan mangsa yang ditimpa pokok ketika melakukan kerja pembersihan tapak binaan di Lapangan Terbang Limbang.

LIMBANG, 31 Mac: Seorang lelaki mengalami cedera ringan di bahagian kaki kanan apabila jentera berat yang di kendalikan olehnya ditimpa sebatang pokok dalam kejadian di sebuah tapak binaan dekat Lapangan Terbang Limbang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dalam kejadian sekitar jam 11.20 pagi tadi, mangsa, 68, sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tapak binaan di lokasi terbabit.

“Dalam kejadian tersebut mangsa telah tersepit di bahagian pemandu jentera berat berkenaan serta berada dalam keadaan sedarkan diri.


“Kerja-kerja memotong pokok terbabit mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum mangsa dapat di keluarkan sepenuhnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanannya kemudiannya diserahkan kepada pasukan paramedik untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.03 tengahari. — DayakDaily