Maritim Malaysia tahan dua bot klon Vietnam bernilai RM1.2 juta

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan dua bot nelayan Vietnam dan 13 warganegara Vietnam.

BINTULU, 22 Julai: Taktik nelayan Vietnam untuk menggaburi pihak berkuasa dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu tidak berhasil, apabila dua bot nelayan Vietnam dengan nilai RM1.2 juta berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Bintulu, semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, bot terbabit ditahan pada jarak lebih kurang 45 batu nautika dari barat laut Tanjung Kidurong, Bintulu ketika pihak Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di sekitar perairan tersebut.

“Pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati lima termasuk tekong berada di atas bot berkenaan manakala bot kedua pula seramai empat orang termasuk tekong sedang leka mencuri hasil laut negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Kesemua yang ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Stapa merupakan lelaki warga Vietnam, berusia dalam lingkungan 29 hingga 46 tahun serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Effendy memaklumkan, peralatan yang digunakan untuk menangkap gamat tidak dilesenkan dan barangan rampasan, termasuk bot, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan disita oleh Maritim Malaysia dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

Kesemua yang ditahan telah diiringi masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Sungai Kemena, Bintulu, bagi menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

Kes akan disiasat dibawah Seksyen 16 (3) iaitu gagal melaporkan kepada pihak berkuasa untuk memasuki Perairan Perikanan Malaysia dan Seksyen 14 (3) (b) iaitu vesel menggunakan huruf, nombor, atau lain-lain cara pengenalan suatu vesel penangkapan ikan yang lain Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254).—DayakDaily

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan dua bot nelayan Vietnam dan 13 warganegara Vietnam.
Kesemua warga Vietnam yang ditahan telah diiringi masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Sungai Kemena, Bintulu, bagi menjalani ujian saringan COVID-19.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan dua bot nelayan Vietnam dan 13 warganegara Vietnam.