17 orang dikenakan kompaun kerana gagal mengamalkan penjarakan sosial

Polis telah mengeluarkan kompaun terhadap 17 orang kerana gagal mengamalkan penjarakkan sosial.

KUCHING, Julai 22: Walaupun tindakan tegas yang berterusan oleh pihak polis dengan mengeluarkan kompaun kepada orang awam yang gagal mematuhi SOP penjarakkan sosial, akan tetapi masih terdapat masyarakat yang bersikap tidak peduli dengan norma baharu ini.

Ketua polis daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani dalam satu kenyataan memberitahu, dua pemeriksaan telah dijalankan oleh pihak polis yang mana pemeriksaan pertama diketuai oleh Insp Awang Ramzi bersama team task force dan pemantauan Balai Polis Sekama serta Balai Polis Bintawa manakala pemeriksaan kedua telah diketuai oleh Insp Jiffry Ardin bersama-sama dengan pegawai dan anggota BSJK daerah Kuching.

“Pemeriksaan pertama telah dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan Pending pada jam lebih kurang 9.10 malam semalam. Semasa pemeriksaan dijalankan di premis tersebut, polis mendapati para pelanggan yang hadir duduk di dalam keadaan yang terlalu rapat di antara satu dengan yang lain.


“Manakala pemeriksaan yang kedua telah dijalankan pada jam 10.10 pagi tadi bertempat di sebuah kedai makan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Bormill Commercial Centre. Dalam kedua-dua pemeriksaan ini mendapati pelanggan yang datang tidak memperdulikan arahan penjarakkan sosial sepertimana saranan oleh kerajaan,” kata Awang Din.

Dalam kedua-dua pemeriksaan, sebanyak 17 orang pelanggan dan juga pengusaha premis yang terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita telah dikeluarkan kompaun.

Dalam pemeriksaan pertama, kesemua pelanggan lelaki telah diarahkan ke Balai Polis Sekama manakala dalam pemeriksaan yang kedua, tiga pelanggan dan juga seorang pengusaha premis telah diarahkan ke pejabat JSJ IPD Kuching untuk pengeluaran kompaun.

Awang Din menegaskan, pihak polis yang sebelum ini mengambil pendekatan memberi amaran kepada pelanggan dan juga pengusaha premis tidak akan berbuat sedemikian lagi.

“Ini kerana orang awam semakin leka dan semakin ramai yang tidak mengikuti SOP sepertimana yang telah ditetapkan. Tindakan tegas iaitu mengenakan kompaun akan dilakukan tanpa prejudis.

“Pemantauan dan pemeriksaan premis-premis seumpama ini akan dijalankan secara berterusan, bagi mengelakkan penularan Covid-19 yng semakin meningkat,” ujar beliau.

Kesemua individu tersebut telah dikompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 3, PPPPB (No. 7) 2020.

Kompaun yang telah dikeluarkan tersebut perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari dengan nilai kompaun sebanyak RM 1,000 setiap seorang.

Awang Din juga berharap orang awam khususnya pengusaha premis dan pelanggan senantiasa mengikuti saranan kerajaan dalam tempoh PKPP supaya mematuhi SOP penjarakan sosial bagi membendung penularan Covid-19.—DayakDaily