4 sekolah di Lubok Antu dapat kelulusan projek naik taraf dan pembinaan semula, kata MP Lubok Antu

Jugah Muyang

KUCHING, 22 JULAI: Projek pembinaan dan naik taraf 4 buah sekolah kategori daif di kawasan Parlimen Lubok Antu telah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.

MP Lubok Antu Jugah Muyang berkata, empat sekolah tersebut ialah SK Nanga Kesit, SK Skrang, SK Batang Ai dan SMK Engkilili.

Katanya, pengumuman ini dinyatakan oleh Menteri Pendidikan melalui sesi pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Rakyat pada 21 Julai 2020.


“Menteri Pendidikan melalui sesi soal jawab menyatakan bagi kawasan Parlimen Lubok Antu, 3 buah sekolah terlibat dalam projek naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah iaitu melibatkan SK Nanga Kesit, SK Skrang dan SK Batang Ai.

“Kos bagi ketiga-tiga projek adalah berjumlah RM15.5 juta,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Jugah, projek naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif bagi SK Nanga Kesit melibatkan skop pembinaan 6 bilik darjah, 4 unit rumah guru dan 1 bilik sains.

Kerja-kerja pembinaan projek ini telah dimulakan 10 Julai 2020 yang lalu.

Bagi SK Skrang pula tambah beliau, skop projek melibatkan pembinaan 8 unit kuarters.

“Manakala, bagi projek SK Batang Ai, skop projek merangkumi pembinaan asrama berkapasiti 100 murid dan 6 unit kuarters.

“Kedua-dua projek ini masih dalam fasa pra bina dan penyediaan dokumen tender dijangka selesai bulan Ogos 2020,” ujar beliau.

Berhubung pembinaan penuh Sekolah Menengah Kebangsaan Engkelili, Jugah berkata projek tersebut telah diluluskan dibawah Projek Khas Kementerian Ekonomi(MEA) tahun 2020.

Katanya, skop projek meliputi pembinaan 6 bilik darjah, asrama berkapasiti 200 murid, 4 unit rumah guru dan kemudahan lain mengikut piawaian.

“Pada masa ini, projek sedang di dalam fasa perancangan seperti rekabentuk dan penyediaan dokumen tender.

Pembinaan projek dijangka akan bermula awal tahun 2021,” ujar Jugah.—DayakDaily