Maritim Malaysia tahan dua bot kelas C langgar syarat sah lesen

Bot nelayan tempatan kelas C yang ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Manis kira-kira tujuh batu nautika dari Tanjung Manat.

TANJUNG MANIS, 27 Feb: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menahan dua bot nelayan tempatan kelas C yang melanggar syarat sah lesen kelmarin (25 Feb).

Seramai 10 warga tempatan yang juga kru kedua bot terbabit turut ditahan Maritim Malaysia semasa satu rondaan Ops Permai sekitar tujuh batu nautika daripada daratan terhampir di sekitar perairan Tanjung Manat.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, kedua bot tersebut ditahan sekitar jam 4.30 petang ketika sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan secara menunda di perairan berkenaan.


Katanya, dua tekong dan lapan kru warga tempatan yang ditahan dalam operasi terbabit berusia di antara 22 hingga 57 tahun.

“Tangkapan pada kali ini adalah hasil risikan yang telah kita jalankan secara berterusan selama tiga hari di kawasan perairan tersebut, berikutan aduan-aduan daripada komuniti nelayan zon A.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 kerana disyaki telah melangar syarat sah lesen,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd Ariz berkata, semua sepuluh nelayan tersebut bersama dua bot dan hasil tanggapan ikan sebanyak 1,150 kilogram diiring masuk ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Manis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau. dalam pada itu. menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen ketika menjalankan aktiviti perikanan di perairan negeri ini.

Pada masa turut mengutamakan keselamatan apabila berada di laut termasuk memastikan pemakaian jaket keselamatan.

“Orang ramai disaran menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis jika berlaku kecemasan atau kejadian mencurigakan menerusi talian 084-613292 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. — DayakDaily