Maritim Malaysia tahan kapal tangki lakukan pelbagai kesalahan di Miri

Kapal tangki membawa muatan 15,000 liter disel ditahan Maritim Malaysia dalam Ops Permai 20 batu nautika dari Kuala Sibuti.

MIRI, 21 Mac: Tindakkan sebuah kapal tangki yang berlayar tanpa memiliki dokumen perlepasan perlabuhan serta Lesen Perkapalan Domestik (DSL) membawa padah apabila ia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri sekitar jam 8.05 pagi semalam (20 Mac).

Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, kapal tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 20 batu nautika arah barat laut dari Kuala Sibuti oleh aset Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan Ops Permai di perairan Miri.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut disyaki telah melakukan beberapa kesalahan, antaranya gagal mengemukakan sebarang dokumen kecuali Dokumen Pendaftaran Kapal, tiada  Lesen Perkapalan Domestik (DSL), tiada pelepasan pelabuhan dan tidak memiliki Borang C.


“Kapal tersebut dikatakan dalam pelayaran menuju ke Bintulu dengan dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong, yang kesemuanya warga Indonesia berumur lingkungan 31 hingga 34 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Fauzi berkata, siasatan lanjut mendapati kapal terbabit membawa muatan diesel yang dianngarkan sebanyak 15,000 liter yang bernilai sekitar RM33,000.

Katanya, kesemua kru serta kapal terbabit telah diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Kastam 1967 dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.

“Maritim Malaysia dalam pada itu turut menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan,” katanya. — DayakDaily