Maritim Malaysia menahan 19 nelayan Vietnam ceroboh perairan Sarawak

Steve menunjukkan hasil tangkapan nelayan asing terbabit yang diperolahi dari perairan negeri.

KUCHING: Dua buah bot nelayan asing Vietnam telah ditahan oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuching yang sedang dalam operasi Op Permai di kedudukan kira-kira 150 batu nautika dari Tanjung Po, Kuching dan seterusnya dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas.

Pengarah Daerah Maritim Kuching Kapten Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata kedua-dua buah bot nelayan Vietnam tersebut dikesan dan ditahan semasa sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan pukat tunda ganding pada 30 September 2017 lalu sekitar jam 10.40 pagi.

Steve menunjukkan lokasi bot-bot tersebut ditahan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bahawa terdapat seramai 19 orang awak-awak berserta tekong dari Vietnam berada di atas bot-bot tersebut.


“Kesemua mereka telah ditahan reman dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, di mana jika didapati bersalah, bot beserta peralatan menangkap ikan boleh disita dan tekong serta awak-awak boleh dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM1 juta dan RM 100,000.00 setiap seorang termasuk hukuman penjara,” katanya dalam sidang media di sini tadi.

Kedua-dua bot tersebut yang disita untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak (082-432544).