KUCHING, 29 Jan: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 berjaya membongkarkan kegiatan menjual rokok dan minuman keras disyaki tiada cukai Kastam di sebuah kedai di Jalan Setia Raja, di sini semalam.
Komandernya ACP Shamsol Kassim yang mengesahkan perkara tersebut memberitahu satu serbuan di bawah ‘Op Landai’ telah dilakukan ke atas kedai tersebut sekitar jam 4.05 petang.
Hasil pemeriksaan katanya membawa kepada penemuan kira-kira 103,000 batang rokok dan 158 kotak minuman keras yang dianggarkan bernilai RM103,960 termasuk cukai.
“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah rokok dan minuman keras yang tidak berbayar cukai Kastam disimpan di dalam stor serta dijual di premis berkenaan.
“Pasukan serbuan kemudian merampas semua rokok dan minuman keras tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya juga, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditangkap untuk membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967.
Kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjut. — DayakDaily