‘Manifesto BN berita baik untuk Sarawak, Sabah’

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, April 8: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah berita baik kepada penduduk Sarawak dan Sabah yang mahukan hak kedua negeri dikembalikan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Menteri Kerja Raya dan penyandang Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata demikian berikutan BN dalam manifesto itu juga menyebut akan merealisasikan hak Sarawak dan Sabah terbabit secara konsensus.

“Bagi rakyat Sarawak dan Sabah, perkara yang menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang mana hak-hak Sabah dan Sarawak akan direalisasikan secara konsensus adalah berita baik yang sememangnya ditunggu-tunggu,”katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Fadillah berkata manifesto terbabit juga mengandungi banyak perkara ke arah memperkasakan lagi pembangunan di kedua negeri terutama di kawasan luar bandarnya supaya seiring dengan negeri di Semenanjung.

“Itulah manifesto BN bagi PRU14 ini yang menyentuhi keperluan semua di setiap negeri dan cukup padat, amat berkesenambungan dengan pendekatan pucuk pimpinan BN, (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian selama sembilan tahun menerajui negara,” katanya.


Beliau sehubungan itu berharap penduduk Sarawak dan Sabah dapat terus menmberikan sokongan dan mandat kepada BN pada PRU14 demi kesenambungan pembangunan yang berterusan. — DayakDaily