Mangsa perahu karam di Kapit ditemui mati

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

KAPIT, 8 Ogos: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya bersama keluarga karam berdekatan jeti Kapit pada 5 Ogos lalu ditemui mati hari ini.

Mayat Jenggut Antas, 10 tahun, dijumpai oleh seorang anggota bomba ‘off duty’ yang sedang memancing di sungai di Kampung Bedil, Kanowit.

Katanya, lokasi mayat mangsa dijumpai adalah kira-kira 84 kilometer dari lokasi perahu karam.

“Mayat mangsa dibawa ke jeti Kampung Hilir Kanowit dan diserahkan kepada pihak polis.

“Bapa mangsa mengesahkan ia adalah mayat anaknya berdasarkan pakaian dipakai mangsa pada hari kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi SAR mangsa yang memasuki hari keempat hari ini yang turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditamatkan pada jam 4 petang.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 9.45 pagu pada Jumaat lepas ketika mangsa bersama ibu bapa dan adiknya menaiki sebuah perahu untuk ke Pekan Kapit.

Bagaimanapun, enjin perahu mereka dikatakan tiba-tiba padam lalu perahu mereka hanyut dan melanggar tongkang yang berlabuh menyebabkan ia karam.

Ibu bapa dan adik mangsa terselamat dalam insiden tersebut. — DayakDaily