Mangsa bot karam di jeram Giam, Song ditemui mati

Lokasi di mana mayat mangsa ditemui.

SONG, Nov 2: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di jeram Giam, Sungai Katibas di sini ditemui mati hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa berusia 65 tahun ditemui oleh orang awam kira-kira jam 11.30 pagi.

Katanya, mayat mangsa dijumpai terapung dan tersangkut pada dahan pokok di Lubok Mawang, Batu Ladong kira-kira 5km dari lokasi perahu karam.

“Atas maklumat berkenaan, pasukan SAR bersama ahli keluarga mangsa pergi ke lokasi yang dimaklumkan untuk mengambil mangsa dan pengecaman oleh ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pada 30 Oktober lalu, sebuah perahu yang dinaiki 10 orang karam berdekatan jeram Giam, Sungai Katibas, di sini.

Sembilan individu selamat manakala mangsa hilang dibawa arus deras.

Difahamkan perahu tersebut bertolak dari Rh Inggang, Tapang menuju ke Pekan Song.

Operasi SAR tersebut hari ini ditamatkan pada jam 1.30 petang. — DayakDaily