Mangsa banjir di Sarawak terus meningkat

Banjir Gambarfail

KUCHING, 15 Jan: Mangsa yang terjejas akibat banjir di Sarawak terus menunjukkan peningkatan pada petang ini berbanding 4,343 orang dilaporkan setakat jam 4.00 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC), Datuk Amar Douglas Unggah Embas berkata, seramai 70 mangsa banjir lagi dipindahkan ke PPPS setakat jam 5.00 petang tadi menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang di tempatkan di PPS meningkat kepada 4,413 orang.

Menurut beliau, terbaharu sebanyak 49 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di enam daerah yang dilanda banjir sejak Rabu lalu.

“Daerah Kuching mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 2,238 orang di 21 PPS, diikuti Serian (1,027 orang di 10 PPS), Bau (805 orang di 9 PPS), Samarahan (211 orang di lima PPS), Simunjan (103 orang di dua PPS) dan Miri (29 orang di dua PPS),”katanya pada sidang media harian SDMC disini hari ini.

Beliau berkata, dalam situasi kini, orang ramai yang tinggal dikawasan yang terdedah kepada bencana banjir, hendaklah bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.

Pada masa sama kata beliau, mereka diminta untuk tidak berpindah ke PPS selain daripada yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah masing-masing.-DayakDaily