Mana boleh goyang kaki, Sarawak United tetap teruskan latihan seperti biasa

Barisan pemain Sarawak United FC.

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, Mac 23: Tempoh rehat dua minggu Liga Premier susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bukanlah cuti buat pemain-pemain skuad Sarawak United FC (SUFC).

Menurut Pengurus SUFC, Afiq Fikri Brahim, latihan pemain tetap diteruskan seperti biasa sepanjang tempoh rehat berkenaan.


Katanya, langkah itu bagi memastikan setiap pemain kekal cergas dan bersedia sepenuhnya apabila saingan Liga Premier bersambung semula kelak.

“Ini bukan tempoh untuk goyang kaki. Semua pemain tetap berlatih seperti biasa untuk mengekalkan tahap kecergasan mereka.

“Kita telah menyediakan modul latihan untuk setiap pemain menjalani latihan secara tertutup di kediaman masing-masing.

“Setiap pemain juga perlu menghantar laporan berbentuk rakaman video kepada jurulatih,” kata Afiq ketika dihubungi hari ini.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana semua pemain dan barisan kejurulatihan SUFC berada dalam keadaan sihat ketika negara sedang dilanda tsunami Covid-19 yang telah meragut 10 nyawa.

Afiq dalam pada itu tidak menolak perlawanan Liga Premier akan dilangsungkan dalam bulan puasa.

“Sepatutnya memang ada perlawanan dilangsungkan pada bulan puasa. Kalau tidak silap ada tiga perlawanan,” katanya lagi.

SUFC sedang menduduki tangga kesembilan Liga Premier dengan hanya mengumpul tiga mata selepas mengharungi empat perlawanan. — DayakDaily