Malaysia catat 1,704 kes baharu, 11 kematian akibat Covid-19

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,704 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini kepada 119,077 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah yang dilaporkan hari ini terdapat lima kes import melibatkan jangkitan dari luar negara.

Katanya, ia menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini sebanyak 21,365 kes.


“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 673 kes (39.5 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 509 kes (75.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah dengan sebanyak 316 kes (18.5 peratus) dan Johor sebanyak 179 kes (10.5 peratus),” katanya menerusi kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 74 kes (4.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (56 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (7 kes), Kluster Tembok Choh (5 kes), Kluster Tembok Gajah (3 kes), Kluster Tembok (2 kes), dan Kluster Kolam Air (1 kes).

Katanya, sehingga kini, sebanyak 532 kluster telah dilaporkan termasuk sembilan kluster baharu pada hari ini dengan 59 kluster mencatat pertambahan kes.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Kebun Baru (89 kes), Kluster Beringin (82 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (56 kes), dan Kluster Sungai Putus (56 kes),” tambah beliau.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 2,726 kes sembuh dilaporkan hari ini menaikkan jumlah kes sembuh kepada 92,218 kes atau 81.6 peratus daripada keseluruhan kes.

“Sebelas kes kematian turut dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan meningkat kepada 494 kes (0.41).

“Daripada jumlah tersebut, enam kematian dilaporkan di Selangor, masing-masing dua kes kematian dilaporkan di Johor dan Sabah manakala satu kematian dilaporkan di Kedah,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 124 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 51 kes memerlukan bantuan pernafasan. — DayakDaily