LUNDU, Feb 17: Malang tidak berbau. Begitulah nasib yang menimpa seorang wanita warga emas selepas dia maut setelah dipercayai dilanggar lari di Jalan Kampung Sekambal di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, mangsa, Demben@Napiah Ramli, 66, dari Kampung Sekambal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang berjalan kaki seorang diri menuju ke rumahnya di kampung berkenaan.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, malang menimpa mangsa apabila sebuah kenderaan yang belum dikenalpasti dikatakan telah melanggarnya.
“Kesan rempuhan kuat itu telah mengakibatkan mangsa tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, buat masa ini pihak polis masih menjejaki kenderaan yang melanggar mangsa.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Lundu untuk tindakan lanjut.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. ā DayakDaily