Makmal Pertanian dibina di Gedong bagi memacu sektor pertanian Sarawak

Abang Johari (kiri) memberi ucapannya pada Amanat Perwakilan PBB Cawangan Gedong. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 21 Mac: Sebuah makmal pertanian akan dibina di kawasan Gedong bagi memacu sektor pertanian di negeri ini sekaligus menjadikan Sarawak sebagai hub pengeluar produk pertanian.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, makmal pertanian itu akan dikendalikan oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Katanya, ini adalah kerana terdapat fakulti baharu yang diwujudkan di Unimas iaitu Fakulti Alam Sekitar dan Pertanian.


“Sebuah makmal pertanian akan dibina di kawasan Gedong di bawah Unimas kerana terdapat fakulti baharu yang telah ditubuhkan.

“Makmal ini akan mengkaji penggunaan teknologi pertanian sebagai perintis kepada pembangunan pertanian.

“Ini juga merupakan satu usaha untuk menaikkan sektor pertanian dan menjadikan Sarawak sebagai hub pengeluar produk pertanian,” katanya semasa Majlis Amanat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.26 Gedong di sini semalam.

Seramai 400 orang Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pergerakan Bapa, Wanita dan Pemuda Cawangan N.26 Gedong telah menghadiri Mesyuarat Perwakilan PBB Gedong bagi penggal 2022-2025 yang diadakan pada 18 sehingga 20 Mac lepas.

Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang lepas membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang dipimpinnya. — DayakDaily