Jaul: Kerajaan sedia pakej konsep pertanian secara berkelompok

Jaul (empat dari kanan) pada Dialog Pembangunan Pertanian di Rh Ramie Jaritan di Sebemban. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 21 Mac: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pertanian Sarawak telah memulakan pakej konsep pertanian secara berkelompok kepada penduduk yang mempunyai keluasan tanah melebihi 10 ekar.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, kerajaan juga menyediakan dana fasilitasi pertanian (AFF) kepada para peserta yang layak.

“Usaha ini adalah untuk membantu mereka meningkatkan produktiviti dan pendapatan warga tani,” katanya sebagai memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Jaul berkata demikian semasa menghadiri Dialog Pembangunan Pertanian di Rh Ramie Jaritan, Sebemban Selanjan semalam.

Dalam program tersebut, beliau turut memberi penerangan tentang polisi kerajaan Negeri untuk memajukan sektor pertanian secara moden dan menjadikan Sarawak sebagai pengeksport barang makanan berasakan pertanian pada tahun 2030.

Sementara itu, beliau memaklumkan, Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah dan Jabatan Pertanian Sarawak sudah mengenalpasti tapak untuk mendirikan ‘Food Terminal’.

Katanya, beliau juga berharap generasi muda lebih aktif untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian.

Hadir sama Adun Bukit Begunan Datuk Mong Dagang dan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datu Edwin Ebit.— DayakDaily