Premier Sarawak menang tanpa bertanding Ketua PBB Cawangan N.26 Gedong

Naroden (enam dari kiri) merakamkan kenangan bersama Perwakilan PBB Cawangan Gedong. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 21 Mac: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menang tanpa bertanding selaku Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.26 Gedong yang baharu.

Pada Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Gedong yang diadakan semalam, Datuk Mohd Naroden Majais juga menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Cawangan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), turut menang tanpa bertanding Ali Bujang sebagai Naib Ketua PBB Cawangan serta 13 AJK kecil yang lain.


Manakala Pergerakan Pemuda PBB yang diketuai oleh Mahathir Oyak serta semua ahli jawatankuasa dan Pergerakan Wanita PBB Cawangan yang diketuai oleh Hasanah Majais serta semua ahli jawatankuasa juga menang tanpa bertanding dalam mesyuarat yang sama.

Mesyuarat yang diadakan dari 18 sehingga 20 Mac itu telah dihadiri oleh kira-kira 400 perwakilan dari Zon Gedong, Zon Pangkor dan Zon Ulu Gedong di Pusat Konvensyen Hotel Raia, Kuching. — DayakDaily