Makmal lama SMK Trusan terbakar

Gambar komposit menunjukkan insiden kebakaran yang melibatkan makmal lama di SMK Trusan.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


LAWAS, 11 Nov: Sebuah bangunan makmal lama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trusan terbakar hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4.45 petang.

Katanya, beberapa anggota dari Balai Bomba Lawas diketuai Pegawai Bomba Kanan Mclean C Madis terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.


“Sampai di tempat kejadian, didapati kebakaran berlaku melibatkan sebuah bangunan makmal lama SMK Trusan dan pasukan Bomba terus melakukan ‘size up’ dan memadam kebakaran.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.33 petang dan seterusnya Bomba melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada lagi sebarang punca api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan Bomba kemudian memasang sawar-sawar untuk mengambil hak milik premis bagi tujuan penyiasatan kebakaran.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily