Makluman kes kematian Covid-19 di Beluru palsu, kata Lee

Datuk Lee Kim Shin

KUCHING, 20 Jan: Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin menyangkal dakwaan terdapat kematian pesakit Covid-19 di Daerah Beluru.

Katanya, berita atau dakwaan tersebut telah di muat naik oleh sebuah laman sosial yang aktif di negeri ini pada semalam.

“Makluman mengenai kematian pesakit Covid-19 di Daerah Beluru seperti yang dimuat naik oleh sebuah laman sosial bertarikh 19 Januari 2021 adalah palsu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Lee menasihati pengguna untuk menghentikan penyebaran berita palsu menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau media sosial kerana ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika didapati bersalah, katanya, individu boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada Laporan Harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Laporan harian disiarkan di dalam Facebook Sarawak Disaster Information dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) bagi menyediakan maklumat rasmi atau boleh menghubungi JPBB Miri untuk maklumat sahih dan tepat,” ujar Lee. — DayakDaily