Majlis Islam Sarawak sumbang RM354,000 kepada 354 masjid dan surau

Mufti Negeri Sarawak Sahibus Samahah Datu Kipli

Dikarang Chris Bishop

KUCHING 22 Mei: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Majlis Islam Sarawak(MIS) kepada masjid dan surau di Bahagian Kuching.

Majlis yang berlangsung di Dewan Komplek Islam di sini menyaksikan 354 masjid dan surau menerima bantuan RM1,000 dengan peruntukkan berjumlah RM354,000.

Dalam ucapan di majlis tersebut, Abang Johari berkata sumbangan itu adalah untuk pengurusan masjid dan surau di sepanjang bulan ramadhan tahun ini.

“Saban tahun Majlis Islam Sarawak melalui Tabung Baitulmal Sarawak(TBS) mengagihkan sumbangan berbentuk tunai RM1,000 kepada masjid dan surau di seluruh Sarawak.

“Ini dapat kita lakukan melalui pengurusan dana zakat yang mantap oleh Baitulmal Sarawak,”katanya.

Ujarnya lagi, konsep zakat menetapkan yang zakat wajib dibayar dan akan diuruskan dengan baik demi kepentingan masyarakat Islam.

Pada tahun 2019, MIS melalui TBS memperuntukkan RM1, 480,000 untuk 1,480 masjid dan surau di seluruh bahagian di Sarawak.

Turut hadir di majlis tersebut Menteri Muda Elektrik Luar Bandar yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha dan Mufti Negeri Sarawak Sahibus Samahah Datu Kipli. – dayakdaily.