MAHA 2018 Lundu himpunkan wanita dalam bidang keusahawanan

Datuk Anthony Nogeh Gumbek

KUCHING, Mac 20: Konsep segalanya wanita yang ditonjolkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 Lundu merupakan platform terbaik menarik penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Anthony Nogeh Gumbek berkata, ia selari dengan pengisytiharan tahun ini sebagai tahun memperkasa wanita sekali gus menghimpunkan usahawan wanita di negeri ini.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan lebih 60 peratus penglibatan wanita dalam MAHA Lundu yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.


“Siri jelajah ‘Road To MAHA’ Lundu akan berlangsung selama dua hari di Tebingan Waterfront Lundu pada Mac 24 hingga 25 ini.

“Ia sesuai dengan konsep segalanya wanita sejajar dengan pengisytiharan tahun ini sebagai Tahun Memperkasa Wanita,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Mas Gading itu menambah, lebih ramai golongan wanita dari semua agensi akan terlibat dalam MAHA Lundu kali ini.

Kata Nogeh, pelbagai program akan berlangsung, antaranya pameran dan jualan seperti produk industri asas tani, kluster kulinari, kluster segar, kluster kesihatan dan kraf, kluster agro pelancongan dan florikultur dan kluster perkhidmatan.

“Pelbagai produk tempatan juga akan diketengahkan menerusi MAHA Lundu yang dijangka dihadiri ribuan pengunjung dari seluruh negeri.

“Usahawan wanita juga akan menampilkan bakat mereka dalam bidang pemprosesan, pembungkusan seperti kuih, sambal, memproses madu kelulut dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Tambah Nogeh, golongan wanita di Sarawak yang aktif menceburi diri dalam bidang keusahawanan juga boleh memperbesarkan perniagaan mereka menerusi pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional terutama dari segi pembungkusan dan pemprosesan. — DayakDaily