Abdul Karim mengalukan kemasukan Mawan ke PBB


KUCHING, Mac 20: Tindakan Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom memilih menjadi salah seorang ahli berdaftar parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah dialukan naib presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Saya belum lagi memeriksa kesahihan (dakwaan Mawan) itu dengan mereka yang menjaga pendaftaran parti PBB, tetapi sekiranya sudah disahkan beliau, saya boleh berkata yang PBB terbuka kepada semua dan kami amat gembira melihat beliau (Mawan) menjadi salah seorang ahli PBB,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengemudi Pelancongan Sarawak (STSC) di sini hari ini.

Abdul Karim mengulas dakwaan bekas Presiden Parti Demoktarik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TEGAS) Mawan yang beliau sudah menjadi ahli PBB sejak 2016 serta memiliki nombor keahlian 470000 baru-baru ini.


Beliau berkata terpulang kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin Barisan Nasional (BN) peringkat negeri dan pusat bagi memutuskan samada Mawan akan dicalonkan semula atau tidak bagi mempertahankan kerusi Parlimen Saratok.

“Dalam politik apa sahaja boleh berlaku, ini termasuk samada kamu boleh menjadi calon atau tidak; ini semua bergantung kepada keputusan pemimpin tertinggi BN iaitu Ketua Menteri dan Perdana Menteri dan biarkan mereka yang membuat keputusan itu,” katanya.

Katanya tiada gunanya BN meletakkan sebarang calon yang hanya ada kelayakan akademik tinggi tetapi tidak disukai penduduk bagi bertanding di kerusi Parlimen Saratok pada pilihanraya umum ini kerana tindakan tersebut hanya menyebabkan BN boleh kalah di kerusi itu.

“Kami mahu seseorang yang boleh menang bagi mempertahankan kerusi Parlimen Saratok dan ini bermakna calon BN terbabit mestilah seorang yang disukai orang ramai di kawasan itu,” katanya.

Abdul Karim juga menyangkal dakwaan yang kawasan Parlimen Saratok ketika ini sudah menjadi kawasan yang boleh dimenangi BN dengan mudah kerana tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) nya iaitu Krian, Kelaka dan Kabong adalah kubu kuat PBB.

“Kita tidak boleh melihat pada sudut itu sahaja, kita mesti sentiasa menghormati pengundi, kerana merekalah yang menentukan samada seorang calon terbabit dapat diterima rakyat di kawasan itu ataupun tidak,” katanya. — DayakDaily