Lukas ketuai Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak

Lukas (kanan) menerima dokumen serah terima tugas dari Zulfikar dan disaksikan oleh Aidi (tengah).

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING,3 Mac:Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak yang baharu SAC Lukas Aket memulakan tugasnya hari ini.

Beliau yang merupakan anak jati Sarawak dan berasal dari Kampung Semaba, Bau mengambil alih jawatan tersebut daripada ACP Zulfikar Mohd Ghazali yang memangku jawatan berkenaan sejak 10 Februari lalu.


Lukas sebelum ini merupakan Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/ Perhubungan Antarabangsa) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Beliau selain itu sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Ketua JSJN Sarawak.

Upacara serah terima tugas dilakukan di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dengan disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Difahamkan, JSJ Sarawak sebelum ini diketuai SAC Mat Zani@ Mohd Salahuddin Che Ali yang kemudian bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. -DayakDaily

Lukas (kanan) menerima dokumen serah terima tugas dari Zulfikar dan disaksikan oleh Aidi (tengah).