Abdul Karim: Wujudkan Unit Anjing Pengesan dipintu masuk untuk kekang kemasukan dadah

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 3 Mac: Satu unit anjing pengesan (K9) bagi mengesan dadah di semua pintu masuk di Sarawak perlu diwujudkan bagi mengekang kemasukan bahan tersebut ke negeri ini.

Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan itu sudah lama diutarakan beliau untuk di perhalusi memandangkan unit terbabit amat diperlukan khususnya untuk mengesan seterusnya menyekat kemasukan dadah ke dalam komuniti di Sarawak.

“Kita memiliki banyak pintu masuk yang terdiri daripada lapangan terbang utama, perlabuhan, kawasan sempadan, perlabuhan serta syarikat-syarikat kurier, namun tiada satupun kaedah yang sesuai untuk kesan kemasukan dadah tersebut.


“Ketika ini, jalan yang terbaik ialah untuk memiliki satu unit anjing yang bagus untuk melakukan tugas tersebut dan setiap pintu masuk kita mesti mempunyai unit tersebut.”

Katanya, kerajaan negeri bersedia untuk berkerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menyediakan dana bagi mendapatkan anjing bagi tujuan berkenaan.

Bagaimanapun, tugas untuk menjaga dan melatih anjing berkenaan mestilah dilakukan oleh agensi yang terlibat dalam tugas-tugas terbabit sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Abdul Karim yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) turut mengingatkan mereka yang terlibat dalam proses pendakwaan dan penyiasatan pesalah dadah agar tidak lalai melaksanakan tugas mereka.

Katanya, adalah menyedihkan apabila terdapat pesalah dadah ini terlepas akibat kesilapan teknikal ketia proses perbicaraan dilakukan terhadap pesalah berkenaan.

“Situasi ini memperlihatkan mereka yang melakukan penyiasatan kes-kes tersebut tidak melakukan tugas mereka dengan sebaik-baiknya.

“Jika pesalah terbabit ditangkap bersama dadah sama ada dibiliknya atau didalam badanya, bagaimanapesalah tersebut boleh terlepas melainakan ada pihak yang tidak melakukan kerjanya dengan betul.”

Katanya, perkara tersebut boleh menjadi suatu perkara yang menyedihkan dan mengecewakan memandangkan ia dapat dicegah sekiranya semua pihak terlibat tahu apa tanggungjawab masing-masing dan tidak mengambil mudah amanah yang telah diberikan. — DayakDaily