LPKP Sarawak menyerah 27 aset perabot kepada 4 sekolah rendah

Razami (kiri) menyaksikan dari wakil empat sekolah rendah menandatangani dokumen penerimaan aset perabot LPKP Sarawak.

KUCHING, April 9: Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah mengadakan majlis penyerahan sebanyak 27 aset perabotnya kepada empat sekolah rendah di bandaraya ini di pejabat LPKP Sarawak,
Bangunan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Pengarah LPKP Sarawak, Razami Mohamad Jamali telah menyerahkan aset terbabit yang berupa kerusi, rak petak menyimpan surat dan kabinet besi berlaci kepada wakil dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ong Tiang Swee, SK Semerah Padi, SK Astana dan SK Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan.

Di majlis itu, SK Ong Tiang Swee telah menerima sebanyak 12 kerusi, satu unit rak petak menyimpan surat, dan satu unit kabinet besi berlaci manakala SK Semerah Padi telah menerima sebanyak dua unit kerusi.

SK Astana pula telah menerima sebanyak enam unit kerusi dan dua unit rak petak menyimpan surat manakala SK Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan telah menerima sebanyak dua unit kerusi dan satu unit rak petak menyimpan surat.

Razami berkata 27 aset perabot terbabit tidak digunakan LPKP Sarawak setelah berpindah dari pejabat lama di Jalan
Rubber di Satok ke pejabat baru di Bangunan Sultan Iskandar pada 2015 dan menerima bekalan perabot baru.


“Kini kami mempunyai 27 aset perabot lebihan yang masih boleh digunakan dan kelihatan baru, jadi kami berbincang dengan pihak pengurusan dan telah memutuskan memberikan aset terbabit kepada jabatan lain atau sekolah yang memerlukannya,” katanya.

Sehubungan itu, permohonan mendapatkan aset perabot terbabit secara pindahan aset telah ditawarkan kepada sekolah yang memerlukan melalui email pada Mac 6 dan ditutup pada Mac 29 serta ditawarkan berdasarkan “siapa cepat dia dapat”. — DayakDaily

Share this article!