Lori simen disyaki langgar lampu merah dalam kes rempuh tiang lampu isyarat di Pujut 7

Kelihatan lori simen yang terbalik selepas melanggar tiang lampu isyarat di persimpangan Jalan Pujut 7.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 12 Okt: Sebuah lori simen merempuh tiang lampu isyarat di persimpangan Jalan Pujut 7 awal pagi ini.

Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8 pagi itu.


Kemalangan tersebut sempat dirakam kamera perakam video (dashcam) sebuah kereta yang pada waktu itu sedang berhenti di lampu isyarat menuju ke Lutong dari pusat bandar.

Video kejadian berdurasi 52 saat itu turut tular di media sosial.

Di dalam rakaman tersebut, lori simen itu kelihatan dipandu agak laju dari arah Lutong menuju ke pusat bandar sebelum terbabas dan merempuh sebuah tiang lampu isyarat di persimpangan Pujut 7.

Lori itu juga kelihatan hampir melanggar sebuah kereta yang datang dari arah Piasau ke Permyjaya sebelum terbabas.

Kejadian menyebabkan kesesakan jalan dari arah Lutong menuju Pusat Bandar.

Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu ketika dihubungi, pihak polis masih menjalankan siasatan mengenai punca insiden tersebut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan, kita belum tahu lagi sama ada lori itu benar-benar melanggar lampu isyarat warna merah atau tidak,” jelas beliau. — DayakDaily