Lori langgar motosikal, seorang lelaki maut akibat cedera parah

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan sebuah lori dan motosikal di Batu 7, Jalan Penrissen.
Advertisement

PADAWAN, Jun 23: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori di Batu 7, Jalan Penrissen di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Collin Sijun, 48, dari Kampung Peninjau Baru, Bau disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Bau ke pusat bandar raya Kuching.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, semasa lori yang dipandu lelaki berusia 36 tahun tiba di kawasan selekoh Batu 7, kenderaan berat itu kemudian tiba-tiba melanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

“Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan pinggulnya.

“Pemandu lori dari Kampung Sampun Baru, Asajaya itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, polis telah menahan pemandu lori itu dan kini ditahan di Balai Polis Siburan untuk mendapatkan perintah reman.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement