Lori langgar lori, seorang pemandu tersepit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

BINTULU, Mac 1: Seorang pemandu lori tangki minyak sawit tersepit selepas kenderaan yang dipandunya melanggar sebuah lori lain di Jalan Sibu-Bintulu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, seorang pemandu lori dikenali sebagai Johnny Lutang dilaporkan mengalami kecederaan di kedua-dua belah kakinya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.47 pagi.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima laporan berhubung insiden, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati mangsa masih berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan tersepit.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong berkata, selepas berjaya mengeluarkan mangsa, anggota bomba kemudian memberikan rawatan kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, pemandu sebuah lagi lori yang membawa muatan sama (minyak sawit) pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.20 pagi,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement