Lori bawa makanan sejuk beku terhumban masuk dalam parit

Kelihatan sebuah lori membawa muatan makanan sejuk beku yang terhumban masuk dalam parit.

SRI AMAN, Mac 21: Sebuah lori membawa muatan makanan sejuk beku terbabas lalu terhumban masuk ke dalam parit dalam satu kejadian kemalangan di Jalan Kem Pakit di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, Awang Adwan Awang Saari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.26 pagi.

Katanya, enam anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori jenis 10 tan telah terbabas di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga mangsa dalam lori tersebut telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Awang Adwan menambah, ketiga-tiga mangsa iaitu pemandu serta kelindan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi. — DayakDaily