Longgokan sampah organik punca banjir kilat di Jalan McDougall semalam

Kelihatan banjir kilat yang berlaku di Jalan McDougall bersebelahan St Thomas’s Cathedral di Kuching semalam berikutan hujan lebat.

KUCHING; Jun 6: Masalah banjir kilat yang sering berlaku di Jalan McDougall bersebelahan St Thomas’s Cathedral telah ditangani dengan segera oleh pihak bahagian penyelenggaraan infrastruktur Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pada malam tadi berikutan hujan lebat selama lebih sejam melanda Kuching sejak pukul 4 petang semalam.

Menurut satu kenyataan media, banjir kilat dikawasan tersebut terjadi akibat daripada longgokan sampah organik seperti daun kering yang telah menutup ‘manhole’ dimana ianya bertujuan bagi menyalurkan air hujan dari permukaan ke sistem perparitan di kawasan tersebut.

Selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab dalam mengurus hal ehwal pentadbiran bandaraya, DBKU amat memandang serius mengenai masalah banjir kilat ini.


Justeru, DBKU ingin mengajak warga kota Kuching bersama-sama DBKU menjadi “mata-mata” DBKU dalam menangani masalah banjir kilat ini.

Warga kota yang mempunyai masalah banjir kilat di kawasan mereka boleh menghubungi Pusat Khidmat 24 Jam DBKU di talian 082-446644 atau melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS)/WhatsApp di talian 016-8864466.

Warga kota juga disaran tidak membuang sampah secara sembarangan ke dalam longkang di kawasan mereka bagi mengelakkan berlakunya masalah banjir kilat ini. Selain itu, warga kota juga digalakkan mengadakan program gotong-royong di kawasan mereka.

“DBKU akan sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warga kotanya dalam usaha bersama-sama mengekalkan Bandaraya Kuching sebagai bandaraya yang cantik, bersih, dan selamat,” kata PBT tersebut. — DayakDaily