Enam sekeluarga hilang rumah sekelip mata

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

MIRI, Jun 5: Sebuah keluarga kehilangan rumah dalam sekelip mata selepas kediaman mereka di KM12, Batu 8, Lambir di sini musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5.29 petang itu turut mengakibatkan enam beranak yang mendiami kediaman berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri, Zul Bada Alior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 5.30 petang.

Jelasnya, enam anggota bomba dari BBP Miri kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sepasukan 12 anggota bomba dari BBP Lopeng turut diarahkan ke lokasi kebakaan sebagai pasukan bantuan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal telah terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zul Bada menambah, kebakaran itu turut mengakibatkan sebuah kenderaan milik keluarga terbabit terbakar 100 peratus.

Katanya, penghuni rumah tersebut juga tidak sempat menyelamatkan dokumen dan barangan penting kerana kebakaran itu merebak pantas.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian akibat kejadian itu,” katanya. — DayakDaily