Lombong ‘bitcoin’ di Kota Samarahan digempur polis

Mesin melombong bitcoin di premis tersebut.

KOTA SAMARAHAN, 20 Mac: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan berjaya melumpuhkan kegiatan perlombongan mata wang kripto (bitcoin) yang dipercayai beroperasi secara haram di sebuah premis di Jalan Lingkaran Luar Kuching, Uni Capital, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah DSP Sudirman Kram berkata, kejayaan tersebut adalah hasil operasi OP Maining oleh Bahagian Siasatan Jenayah bersama Sarawak Energy Bhd.

Katanya, serbuan dilakukan kira-kira jam 1.40 petang dan pasukan serbuan terpaksa memotong mangga pintu untuk masuk ke dalam premis tersebut.


Dedah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat penyambungan elektrik secara haram dilakukan di bangunan tersebut.

Pasukan operasi kemudian bertindak merampas 131 unit mesin melombong Bitcoin, serta peralatan komputer.

Jelasnya, kesemua barang rampasan terbabit di bawa ke IPD Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun turut ditahan kerana dipercayai mempunyai akses kepada premis terbabit.

Kes disiasat dibawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan. — DayakDaily