KUCHING, 22 Nov: Loji Rawatan Air Maludam yang dibangunkan dengan kos RM10.25 juta memberi manfaat kepada 1,174 isi rumah di kawasan Maludam dan Triso, kata Timbalan Menteri Utiliti Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Menurut beliau, ia adalah projek penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi masalah bekalan air dan tekanan rendah di kawasan Maludam dan Triso.
“Loji Rawatan Air Maludam memiliki kapasiti 4.5 juta liter,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjawab soalan Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor hari ini.
Tambah Dr Abdul Rahman, tiada Projek Bekalan Air Alternatif (SAWAS) dilaksanakan dalam kawasan DUN Lingga.
Namun demikian katanya, terdapat satu projek SAWAS sedang dilaksanakan di daerah Lingga laitu di Banting (dalam DUN Bukit Begunan) yang kini dalam peringkat pelaksanaan.
“Kini kemajuan fizikal projek tersebut ialah sebanyak 10 peratus dan dijangka siap pada awal tahun 2024.
“Manakala, kawasan Maludam dan Triso sudah dibekalkan dengan air terawat yang berterusan dari Loji Rawatan Air Maludam,” katanya. — DayakDaily