Loji pengeluaran hidrogen dicadangkan dibina di Kuching

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) menyaksikan wakil pertubuhan masyarakat Cina tempatan (kiri) memberikan cenderahati kepada Fu Jijun (kanan) di majlis meraikan Konsulat Besar China Di Kuching itu yang akan bertukar bertugas di negara lain.
Advertisement

KUCHING, Dis 18: Kerajaan negeri bercadang membina sebuah loji pengeluaran hidrogen dari molekul air di bandaraya ini mengunakan teknologi pengeluaran hidrogen dari China yang lebih murah kosnya berbanding negara lain.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian berikutan teknologi terbabit di China lebih murah kosnya berbanding Jerman selepas kerajaan negeri melakukan lawatan ke loji pengeluaran hidrogen dari air di kedua-dua negara itu baru-baru ini.

“Teknologi (pengeluaran hidrogen) yang ada di Jerman dan teknologi China adalah sama, tetapi kos pengeluarannya mengunakan teknologi di China adalah lebih murah; disebabkan itu saya telah memutuskan akan mewujudkan loji pengeluaran hidrogen mengunakan teknologi sama yang akan terletak di Kuching,” katanya ketika menghadiri majlis meraikan Konsulat Besar China Di Kuching, Fu Jijun dan isterinya Liu Sha yang akan berpindah bertugas di negara lain, di sini, semalam.

Advertisement

Abang Johari tidak mendedahkan butiran perancangan pengwujudan loji itu di Kuching tetapi juga memutuskan memilih mengunakan teknologi dari China kerana lebih ringkas dan akan lebih mudah dibawa ke negeri bagi mewujudkan loji itu dan seterusnya mula menjadikan Sarawak sebagai pengeluar hidrogen dari air yang boleh digunakan sebagai bahan api enjin kenderaan.

“Ketika melawat Jerman, kami mendapati teknologi terbabit disana amat rumit dan canggih, kemudian kami melawat China dan mendapati itu (teknologi pengeluaran hidrogen) adalah amat ringkas. Saya melihat satu loji disana yang memisahkan hidrogen dan oksigen dari air mengunakan proses akaline dan loji terbabit sudah mengeluarkan hidrogen sejak 17 tahun lepas,” katanya.

Di samping itu, setelah membandingkan teknologi pengangkutan rel di pelbagai negara bagi mencari teknologi yang terbaik dan mampu digunakan di negeri ini, kerajaan negeri juga memutuskan akan mengunakan teknologi keretapi dan rel magnetik dari China bagi mewujudkan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuching.

“Saya sudah melihat bagaimana keretapi dan rel magnetik dipasang di China. Saya memutuskan akan mengunakan teknologi kamu (China) bagi LRT di Kuching. Ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan dalam penyelengaraan teknologi terbabit,” kata Abang Johari.

Beliau mendedahkan turut berjumpa pihak pengurusan atasan Bank Of China ketika lawatannya ke negara itu dan berbincang kemungkinan bank itu mengadakan kerjasama dengan negeri ini bagi mendapatkan dana modal dari pasaran kapital kerana bank itu amat kukuh kedudukannya di pasaran di Frankfurt, New York dan London.

“Selain itu, China Development Bank mungkin juga boleh bekerjasama dengan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) kerana keduanya bank pembangunan bagi mendapatkan dana kewangan dari pasaran kapital,” katanya.

Beliau yakin dengan sistem perbankan dan ekonomi China kerana dalam satu persidangan Internet antarabangsa di negara itu yang dihadirinya, Ketua Menteri mendedahkan persidangan terbabit menjangkakan menjelang 2021, sebanyak 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) China akan diperolehi dari ekonomi digital.

Katanya pada tahun 2016, ekonomi digital telah menyumbangkan sebanyak 35 peratus kepada GDP China yang berjumlah 3.4 trilion dollar Amerika Syarikat dan sudah mencukupi bagi Sarawak sekiranya hanya mendapat hanya sedikit atau 0.4 peratus sahaja dari jumlah itu. — DayakDaily

Advertisement