61 mangsa dari Kampung Lubok Meranti dipindahkan akibat banjir

Mangsa banjir menikmati bekalan makanan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

SEBUYAU, Dis 18: Hujan lebat yang turun sejak semalam telah mengakibatkan kawasan di Kampung Lubok Meranti di sini mulai dinaiki air banjir hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan akhbar berkata, hujan yang berterusan itu telah menyebabkan air banjir naik sedalam kira-kira 0.3 meter.

Keadaan banjir di Kampung Lubok Meranti.

Katanya, susulan kejadian itu, seramai 61 mangsa daripada 17 buah keluarga di kampung tersebut telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Lutong, Sebangan di sini setakat pukul 12.42 tengah hari.


“Dua bayi lelaki dan dua bayi perempuan turut terjejas akibat banjir itu.

“JPBNS juga akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan keadaan terkawal,” kata JPBNS dalam kenyataan hari ini. — DayakDaily