Seramai 300 pelajar B40 terima Skim Bantuan Persekolahan

Rina (tengah) menyerahkan beg sekolah kepada pelajar.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Dis 2: Seramai 300 pelajar yang dikategorikan dalam golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di sekitar bahagian ini menerima Skim Bantuan Persekolahan (SBP) sebanyak RM11,059.10, semalam.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun telah menyempurnakan majlis penyampaian SBP tersebut.

Menurut Rina, SBP merupakan skim yang dijalankan dibawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) sebagai galakan untuk mempertingkatkan prestasi akademik para pelajar.

“Inisiatif berbentuk bantuan peralatan kelengkapan persekolahan dan wang tunai.


“Bantuan ini amat penting dalam usaha membantu dan memastikan pelajar daripada golongan pertengahan dan rendah iaitu B40 mendapat perhatian sewajarnya selain memberi sokongan moral kepada ibu bapa mahupun penjaga terutama dalam menghadapi sesi persekolahan tahun 2019,” katanya.

Rina menambah, bantuan persekolahan tersebut merangkumi sumbangan kepada 25 buah sekolah rendah berjumlah RM6,230.60 dan enam buah sekolah menengah berjumlah RM4,828.50 di kawasan Bintulu.

Di majlis sama, Rina turut menyampaikan Sijil Bantuan Rumah PPRT 2018 kepada lima orang penerima di DUN Jepak yang terdiri daripada empat orang mangsa kebakaran dan seorang warga emas dari Kampung Sebuan Besar.

Rumah PPRT tersebut akan mula dibina pada bulan ini dengan kerjasama GIATMARA dan dijangka siap pada Mac 2019.

Selain itu, Rina turut mengumumkan salah satu inisiatif baharu di bawah kementeriannya iaitu Desa Harapan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Inisiatif baharu ini bertujuan menggalakkan pihak swasta mengadakan aktiviti CSR yang lebih berstruktur dan sistematik di kawasan kampung bagi membantu meningkatkan pendapatan kawasan mereka.

Beliau juga menekankan bahawa kementeriannya berusaha untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif pada masa akan datang dengan melaksanakan kajian teknikal bagi membolehkan pembinaan rumah PPRT dibuat dengan kos yang lebih rendah tanpa menjejaskan kualiti dan keluasan rumah tersebut. — DayakDaily