KUCHING, 2 Dis: Litar permotoran Gedong yang diluluskan pembinaan baru-baru ini bakal menjadi litar antarabangsa dengan kapasiti 100,000 penonton, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abang Johari berkata, lokasi pembinaan telah dikenal pasti di seberang Ishtmus Gedong, seluas 600 ekar.
Katanya, Gedong dipilih kerana ia merupakan kawasan yang sesuai, memandangkan litar lumba tidak dibenarkan dibina di kawasan bandar.
“Trek sebegini tidak boleh dibina di kawasan bandar seperti di Litar Antarabangsa Sepang maka kawasan yang paling dekat dengan bandar adalah di Gedong.
“Hal ini kelak membolehkan Gedong menjadi kawasan antarabangsa bagi sukan permotoran,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Mesyuarat Agong Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Gedong di sini pada semalam.
Bagi tujuan tersebut ujar beliau, kerajaan akan memastikan infrastruktur jalan raya dibangunkan.
“Ini bagi memastikan peminat-peminat sukan permotoran termasuk di luar Sarawak dapat mengakses kawasan di Gedong,” katanya. — DayakDaily