Oleh Chris Bishop
KUCHING, 18 Nov: Liputan bekalan air di seluruh Sarawak setakat ini ialah 85.4 peratus dan liputan di luar bandar pada kadar 70.5 peratus.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, peruntukan lebih RM20 bilion diperlukan bagi merealisasikan liputan penuh bekalan air selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
Katanya, sejak 2018 sejumlah RM4 billion di bawah Alternative Funding yang melibatkan 304 projek telah diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan Water Supply Grid Programme for Stressed Areas.
“Program ini kini telah berada di fasa terakhir dengan 269 projek atau 88 peratus telah disiapkan.
“Sebanyak 27 projek bersamaan 9 peratus sedang dalam pembinaan.
“Baki 8 projek lagi atau 3 peratus sedang dalam peringkat pra kontrak dan akan dimulakan pada tahun 2025,” kata Julaihi dalam ucapan penggulungan kementerian di Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini
Tambah beliau, terdapat 3 projek utama yang dijangka siap pada penghujung tahun ini iaitu Naik Taraf Loji Rawatan Air Bayong, Sarikei daripada 70 JLH kepada 100 JLH dengan kos projek berjumlah RM68.6 juta.
“Kedua, Projek Penyambungan Air Bersih ke Sungai Teniku, Miri dengan kos projek berjumlah RM6.9 juta.
“Ketiga, Projek Sistem Bekalan Air Pulau Bruit dengan kos projek berjumlah RM84.4 juta.
“Setelah projek ini siap sepenuhnya, Projek Sistem Bekalan Air Pulau Bruit akan mendapat bekalan air daripada Loji Rawatan Air Tanjung Manis,” kata Julaihi. — DayakDaily