Limbang positif capai 80 peratus imuniti kelompok

Kelihatan Dr Abdul Rahman (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan ke salah satu sekatan jalan raya di Limbang. Foto: Ukas
Advertisement

KUCHING, 22 Jun: Jumlah pendaftaran penerima vaksin di Daerah Limbang kini semakin meningkat, kata Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), beliau berkata ia sejajar dengan pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan sekaligus mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.

“Kini semakin ramai penduduk di Limbang telah mendaftar untuk menerima vaksinasi.

Advertisement

“Kita di Limbang juga seperti mana tempat-tempat lain, PPV telah ditambah dan ini memungkinkan lebih ramai penduduk di sini diberikan vaksin untuk kita akhirnya mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan keperluan Sekatan Jalan Raya (SJR) kepada Polis Diraja Malaysia Daerah Limbang di hadapan Kompleks Sukan Limbang, Kampung Bangkita pada Ahad (20 Jun).

Menurut beliau, Daerah Limbang telah kembali berstatus hijau dan ini menunjukkan masyarakat telah memberikan kerjasama untuk mengekang penularan Covid-19 dengan mematuhi garis panduan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah ditetapkan.

Mengulas mengenai SJR, Dr Abdul Rahman yang juga Adun Bukit Kota memberitahu terdapat tiga lokasi iaitu di hadapan balai polis, kedua di hadapan Kompleks Sukan Limbang dan satu lagi di hadapan Pusat Giat MARA Limbang.

“Hasil daripada tinjauan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada minggu lepas beliau telah mencadangkan agar kemudahan di SJR diperbaiki.

“Beliau (Awang Tengah) telah setuju untuk menyumbang enam kanopi arabian iaitu tiga di Limbang dan tiga di Lawas.

“Manakala, saya sendiri turut menyumbang beberapa keperluan untuk SJR ini yang mana mereka beroperasi 24 jam sehari,” katanya. — DayakDaily

Advertisement