Lima wanita warga asing dijual untuk eksploitasi seks diselamatkan polis

Dato Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING, 24 Okt: Seramai lima wanita warga asing diselamatkan selepas dipercayai dipaksa melayan pelanggan di premis hiburan termasuk melakukan aktiviti seks.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kelima-lima wanita terbabit berusia lingkungan 24 hingga 29 tahun dan kesemua mereka dikurung di tingkat tiga sebuah bangunan kedai di Jalan Setia Raja.

Katanya, pihak polis dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sarawak telah menyerbu premis tersebut hasil daripada maklumat dan risikan yang dibuat pada 21 Oktober iaitu sekitar jam 3.30 petang.


“Pihak polis telah berjaya menyelamatkan lima wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk eksploitasi seks.

“Semasa tiba di lokasi, pihak polis telah mendapati premis didiami mangsa-mangsa telah berkunci daripada luar dan pergerakan mangsa telah dikawal oleh CCTV yang dipasang di sekitar premis.

“Polis telah mengambil beberapa inisiatif untuk menyerbu masuk ke dalam premis tersebut dalam usaha menyelamat mangsa-mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya mangsa-mangsa mengaku berada di Sarawak antara tiga minggu hingga lima bulan.

“Kesemua mangsa telah memasuki Sarawak dan dipaksa untuk melayan pelanggan berhibur di premis hiburan dan hotel, termasuk melakukan aktiviti seks dengan bayaran tertentu,” katanya.

Sementara itu, dua lelaki tempatan berusia 23 dan 25 tahun turut ditangkap bagi membantu siasatan.

“Turut dirampas ialah dua unit pasport warganegera asing milik mangsa yang telah diselamatkan,” katanya.

Tangkapan dan rampasan adalah di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara penjara tidak lebih 15 tahun dan denda. — DayakDaily