Dua rumah terbakar di Kenyalang Park

Anggota bomba memadam kebakaran.

KUCHING, 24 Okt: Dua buah rumah satu tingkat di Kenyalang Park, di sini musnah dalam kebakaran petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihak menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.39 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua buah rumah berkembar, satu tingkat.

“Pasukan bomba bertindak melakukan teknik pemadaman secara offensive dan defensive menggunakan dua salur bantu mula dan dua aliran, tiga pancutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, rumah pertama terbakar 80 peratus dan rumah kedua dianggarkan terbakat 50 peratus.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

“Semasa kebakaran berlaku, tiada penghuni berada di rumah,” katanya.

Operasi memadam kebakaran yang turut dibantu BBP Tabuan Jaya dan Batu Lintang tamat sepenuhnya pada jam 6.25 petang.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily