Lima suspek kes samun di Jalan Matang ditangkap

Tangkap layar dari rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian.

KUCHING, 6 Okt: Polis berjaya memberkas lima lelaki warga tempatan disyaki suspek kes samun sebuah kedai 24 jam di Jalan Matang pada 4 Oktober lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata laporan berhubung kejadian diterima daripada seorang lelaki berusia 22 tahun.

Katanya, dalam insiden tersebut, mangsa bersama seorang rakan sekerjanya cuba disamun pada jam 4.48 pagi.

“Seramai empat suspek yang terlibat di dalam kejadian, di mana dua suspek menunggu di luar dengan menggunakan dua buah motosikal, manakala dua lagi menyamun hasil jualan di dalam premis.

“Kedua-dua suspek yang masuk ke dalam premis berpura-pura sebagai pelanggan sebelum mengeluarkan objek tajam dan seterusnya mengancam mangsa dan rakannya jika tidak diberikan wang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menangani dan menyiasat kes ini.

“Usaha bersama dengan pasukan sahabat daripada IPD berdekatan serta pihak JSJ IPK Sarawak digembleng untuk menumpaskan suspek.

“Hasil kerjasama daripada semua pasukan yang terlibat, seramai lima orang suspek lelaki tempatan telah berjaya ditangkap oleh pihak IPD Kuching,” katanya.

Jelasnya kesemua suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu siasatan kes rompak berkumpulan.

“Jika disabitkan bersalah boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh 20 tahun dan juga sebat,” tegasnya. — DayakDaily