KUCHING, 2 Ogos: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menumpaskan lima sindiket judi dalam talian pada beberapa siri serbuan pusat pengoperasian kegiatan tersebut di sekitar bandaraya ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kelima-lima sindiket ini dikenali sebagai Geng Kenneth, Ah Ju, Ah Wen, Alan dan Kim.
Jelas beliau, seramai 31 individu ditangkap sekaligus melumpuhkan kelima-lima sindiket tersebut.
“Kita juga telah menangkap seorang suspek yang dipercayai ketua satu daripada sindiket yang juga berperanan sebagai akauntan.
“Sungguhpun begitu, kita masih menjejaki empat lagi lelaki bagi membantu siasatan polis untuk merungkai beberapa lagi perkara yang perlu diselesaikan polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini.
Justeru, Ahsmon menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keempat-empat individu terbabit untuk segera melaporkan di mana-mana balai polis berhampiran.
Katanya, sejak Jun hingga Ogos tahun ini sebanyak 14 serbuan pusat judi dalam talian membabitkan tangkapan seramai 72 orang termasuk 32 warga asing.
Daripada serbuan tersebut, dipercayai kesemua pusat judi tersebut telah memperolehi keuntungan mencecah RM15 juta sejak mula beroperasi.
Dedahnya, kejayaan terbaru adalah pada Ahad lepas, di mana satu serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah teres di Jalan Lapangan Terbang dan berjaya menangkap 13 individu dipercayai operator termasuk dua wanita berusia lingkungan 18 hingga 42 tahun.
Siasatan polis mendapati premis tersebut mula beroperasi sejak enam bulan lepas dengan keuntungan sekurang-kurangnya RM3,500 sehari
“Sehubungan itu, Op Dadu Khas ini akan terus dilaksanakan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras kegiatan perjudian haram tersebut,” katanya. ā DayakDaily